KEMATIAN adalah suatu yang pasti dihadapi oleh setiap insan bernyawa. Namun, kematian yang mendatangi manusia itu tidak diketahui detik, masa dan tempatnya. Semua itu termasuk antara rahsia Allah swt.
Firman Allah bermaksud: “Dan tidak ada satu diri pun yang akan mati melainkan dengan izin Allah pada suatu waktu yang akan ditentukan.” (Surah Ali Imran, ayat 145).
Luqman al-Hakim pernah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Urusan yang tidak engkau ketahui bila ia akan menemuimu. Bersedialah sebelum ia datang kepadamu. Ia adalah kematian yang datangnya tidak pernah diundang.”
Kematian ialah proses terputusnya hubungan di antara roh dan jasad.Dr Sidi Gazalba menyatakan bahawa kematian itu ialah proses terhentinya jasmani seperti nafas, perjalanan darah, gerak fikiran, perasaan, tenaga dan lain-lain daripada berfungsi seperti biasa.
Kematian adalah batas sempurnanya roh dalam hidup makhluk. Maut bererti menghilangkan seluruh daya selama roh itu berada dalam genggaman Allah.
Kerahsiaan detik kematian itu adalah rahsia Allah untuk memberi peringatan
supaya manusia membuat persediaan setiap masa sebelum kematian datang menjelma
kerana ia akan muncul secara tiba-tiba.
Lantaran itulah setiap manusia digalakkan beramal sepanjang masa sebagai bekal
pahala yang akan dibawa ke alam barzakh.
Persediaan pahala perlu dibekal sebanyak mungkin bagi menjamin keselamatan dan
keselesaan hidup di alam sana.
Pokok persoalan yang ingin diketengahkan adalah bekalan pahala berpanjangan bagi si
mati walaupun telah menempuh alam kematian.
Hanya tiga perkara yang akan mengikuti jenazah ke tanah perkuburan, iaitu
amalannya ketika hidup, kaum-kerabat dan sanak-saudara serta harta
peninggalannya.
Namun, hanya satu yang akan tetap setia sanggup bersama dan bersemadi dengan si
mati di dalam kubur, iaitu amalannya.
Kaum-kerabat dan sanak-saudara hanya akan menghantar setakat ke tanah
perkuburan, begitu juga dengan harta benda seperti wang, kenderaan dan kemewahan
lain akan segera meninggalkannya sebaik jenazah selamat dikebumikan.
Amalan saja yang akan menjadi teman setia si mati dalam menempuh kehidupan baru
di alam kubur. Jika amal soleh yang dibawa bersama, pasti ia akan memberi
manfaat serta keberkatan yang kelak akan menerangi kuburnya.
Seandainya yang menemaninya itu adalah amal yang jahat, maka sejahat-jahat teman ialah dosa daripada amalan buruk yang akan mendatangkan malapetaka azab di dalam kubur.
Apa yang zahir dan pasti, segala amalan seseorang akan terputus dengan
kematiannya tetapi Rasulullah di dalam hadisnya menyebut tiga perkara yang tidak
akan terputus dengan kematian seseorang.
Nabi bersabda maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah
segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang
dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)
Satu noktah penting yang perlu diambil perhatian ialah seseorang itu telah
meninggal dunia, masih ada peluang untuknya membuat pahala sebagai bekalan
berpanjangan dan berterusan di alam kubur.
Maksudnya, pahala akan tetap bertambah walaupun ketika itu dia berada di dalam
kubur dalam keadaan tidak mampu untuk beramal lagi. Ia ibarat orang yang membina
saluran air dari gunung, air itu akan terus mengalir sehingga bila-bila.
1.Sedekah jariah:
Amalan bersedekah adalah satu perbuatan mulia. Seseorang yang
selalu bersedekah akan mendapat pulangan lumayan di akhirat kelak, bahkan seawal
mungkin ketika masih di alam barzakh. Ketika tidak mampu beramal lagi, sedekah
jariahnya akan tali-menali sebagai ganjaran pahala buatnya. Contohnya seperti
seseorang mengeluarkan hartanya atau menderma dan mewakafkan tanah untuk membina
masjid, surau, sekolah atau madrasah, menanam pokok buah-buahan yang diniatkan
sebagai makanan manusia dan haiwan apabila tumbuhan itu mengeluarkan hasilnya
kelak.
2.Ilmu yang dimanfaatkan:
Ia termasuk seseorang yang mengajar orang lain membuat kebaikan dan orang yang diajar itu melakukannya dengan istiqamah dan kemudian dia mengajar pula kepada orang lain.
Ibarat guru yang mengajar anak muridnya dengan ilmu yang bermanfaat, langsung
terus diamalkan. Itulah yang amat bernilai yang tidak akan terhitung banyaknya
walaupun ketika itu jasadnya telah hancur dimamah bumi.
3. Doa anak soleh:
Doa adalah satu-satunya alat komunikasi di antara orang hidup dengan orang yang telah mati.Penghuni alam barzakh akan sentiasa merindui dan menaruh harapan agar Allah akan mencucuri rahmat ke atasnya melalui doa anak yang soleh setelah semua amalannya terputus akibat kematian.
Terdapat pelbagai kaedah yang diguna pakai dan diterima masyarakat Islam
mengenai konsep berdoa untuk arwah yang telah meninggal dunia. Antaranya, doa yang dipanjangkan ketika solat jenazah, ketika membawa mayat ke
tanah perkuburan, selepas selesai solat fardu dan sunat, doa yang dibaca di
majlis tahlil dan bacaan surah Yasin hadiah buat pahala si mati.
Rangkuman daripada hadis di atas dapat disimpulkan seperti yang dinukilkan di
dalam kitab Syarah Aqidah at-Tahawiyah: Doa orang yang hidup dan disedekah atau ditujukan kepada orang yang telah
meninggal dunia boleh memberi manfaat kepadanya.
Ittifaq (bersepakat) Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa orang mati boleh mendapat
manfaat daripada perbuatan orang yang masih hidup melalui dua perkara, iaitu
punca (sebab) yang diusahakan oleh si mati ketika hayatnya dan doa kaum
muslimin, istighfar, perbuatan sedekah dan haji untuk si mati. (Rujuk kitab
Aqidah at-Tahawiyah karangan ad-Dimasyqi)
Di dalam kitab al-Azkar karangan Imam an-Nawawi ada disebutkan bahawa ulama telah berijma dalam menyatakan bahawa doa orang hidup yang ditujukan kepada si mati sampai kepadanya dan boleh mendapat manfaat daripadanya.
Ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah
mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan
saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu daripada kami.” (surah
al-Hasyr ayat 10)
Nabi Muhammad pernah mendoakan Abu Salamah dan Baginda turut berpesan kepada
ahli keluarga Abu Salamah pada saat akhir hayatnya: “Janganlah kamu meratapi
dirimu kecuali dengan baik kerana malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan.”
Kemudian Rasulullah berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Abu Salamah,
angkatlah darjatnya bersama dengan orang yang mendapat petunjuk, lapangkanlah
kuburnya, sinarilah dirinya di dalam kubur dan berilah pengganti yang baik untuk
orang yang ditinggalkannya.” (Rujuk kitab Bulughul Maram, karangan Ibn Hajar
al-Asqalani)
Inilah yang sepatutnya menjadi resam bagi anak soleh, bukan saja sentiasa
mengambil berat kebaikan atau kebajikan kedua-dua orang tuanya, terutama ketika
kedua-duanya telah menempuh usia tua, menjaganya dari segi fizikal dan
kesihatan, tetapi juga membelai hatinya agar tidak terluka akibat tingkah laku
yang tidak menyenangkan.
Bahkan apa yang lebih penting ialah mendoakan kesejahteraan setelah mereka
meninggal dunia. Anas bin Malik berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tujuh perkara yang akan terus mengalir pahalanya walaupun setelah orang itu meninggal dunia, iaitu orang yang mengajarkan ilmu, orang yang membina parit atau tali air, orang yang membuat telaga, orang yang menanam pokok buah-buahan, orang yang membina masjid,orang yang mewakafkan mashaf al-Quran dan orang yang mendidik anaknya sehingga menjadi orang soleh.”
Orang yang mengajarkan ilmu:
Syarat ilmu yang diajar itu ialah ilmu yang boleh memberi manfaat, sama ada ilmu
agama atau ilmu duniawi. Syarat orang yang mengajar pula mestilah dengan niat
ikhlas kerana Allah, bukannya untuk mencari habuan dunia.
Orang yang membina parit atau tali air:
Ia sama ada dibina sendiri atau secara bergotong-royong. Parit atau tali air itu
akan memberi manfaat kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Orang yang membuat telaga:
Ia dengan tujuan supaya orang ramai dapat memanfaatkan airnya. Membina telaga
boleh dikiaskan juga dengan membina kolah di masjid dan surau untuk kegunaan
mengambil wuduk.
Orang yang menanam pokok buah-buahan:
Selama mana hasilnya dapat dimakan dan dimanfaatkan oleh manusia atau haiwan,
atau pokok itu digunakan sebagai tempat berteduh dari panas terik atau tempat
kediaman burung dan sebagainya, maka pahala daripada semua faedah itu akan terus
kepada orang yang menanamnya.
Membina masjid:
Sama ada secara berseorangan atau menderma untuk pembinaan atau pembesaran
masjid. Termasuk di dalam kategori ini ialah membina surau, musalla, madrasah
dan balai Islam asalkan tempat itu digunakan sebagai tempat beribadat dan
aktiviti keagamaan.
Mewakafkan mashaf al-Quran supaya dibaca oleh orang ramai, sama ada wakaf di
masjid, surau, musalla dan madrasah. Selama mana mashaf itu dibaca dan
dimanfaatkan orang ramai, selama itulah pahalanya akan turut menjadi bekalan
tambahan orang yang mewakafkan itu.
Termasuk di dalam kategori ini ialah mewakafkan buku agama, pakaian seperti
telekung sembahyang, selipar yang digunakan untuk mengambil wuduk, sejadah dan
barang lain yang boleh dimanfaatkan oleh jemaah.
Orang yang mendidik anaknya sehingga menjadi anak yang soleh. Hanya anak yang
soleh tahu apa tanggungjawabnya terhadap Allah dan kepada ibu bapanya.
Meraka pasti akan menjaga ibu bapa dengan baik, sama ada semasa hidupnya atau
hari tuanya. Tanggungjawab paling utama selepas kematian ibu bapa ialah
mendoakan kesejahteraan dan kebaikan agar ibu bapa ditempatkan bersama golongan
yang mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah swt.
Sebagai kesimpulannya, setiap mukmin mestilah memastikan lingkungan hidupnya
tidak lari daripada konsep beribadah – bukan setakat bekalan pahala sewaktu
hidupnya, malah berusaha meningkatkan kualiti pahalanya agar ada kesinambungan
ketika mereka di alam barzakh nanti.
Sebaik-baik manusia ialah mereka yang hidupnya sentiasa memberi manfaat kepada
orang lain.
Wallahualam..
No comments:
Post a Comment