Pages

Friday, July 1, 2011

15 Tips Anak Cemerlang



1. Anak kecil memang gemar bertanya itu dan ini. Ada kalanya tingkah lakunya ini boleh menyebabkan anda bosan dan rimas. Namun, usahlah memandangnya remeh. Sebaliknya, layanilah sifat ingin tahu anak kita itu secara ikhlas dan positif. Elakkan daripada mengelak atau berbohong.

2. Zaman kanak-kanak hanya sekali seumur hidup. Jadi berilah peluang anak kecil anda bermain sepuas-puasnya. Walaupun tampak membuang masa, tetapi anda harus ingat bahawa proses pembelajaran kanak-kanak khususnya pra sekolah berlangsung sewaktu mereka sedang bermain. Ketika itulah dia membina kreativiti dan imaginasinya.



3. Asah kemahiran mendengar yang baik di kalangan anak kita. Cara yang paling mudah ialah menjadikan diri anda sebagai contoh kepadanya iaitu dengan memberi tumpuan apabila dia berbicara.






4. Usah kedekut memberi pujian kepada anak kita apabila dia layak menerimanya. Pujian merupakan suatu bentuk penghargaan. Apabila dia menerima pujian daripada anda, dia akan berasa bahawa dirinya memperoleh perhatian anda.


5. Berilah galakan yang positif kepada anak dan elakkan daripada memaksanya. Walau bagaimanapun, galakan harus diberikan berdasarkan tahap kemampuan si kecil.


6. Berilah ruang yang cukup dan selamat untuk diterokai anak kecil anda. Pada masa yang sama, usah sekat peluangnya untuk menconteng, melukis, membina dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

7. Bantulah anak agar bersedia menerima kesilapan yang telah dilakukan. Tenangkanlah dia dan suruhlah dia belajar daripada kesilapan tersebut. Pada masa yang sama, beritahulah anak bahawa kesilapan itu boleh diperbaiki dan diatasi. Berilah galakan untuk dia terus mencuba.


8. Elakkan daripada menegah mahupun melarang anak kita daripada melakukan sesuatu perkara secara negatif. Ini boleh menyebabkan anak kita hilang kepercayaan terhadap kebolehan dirinya untuk mendayausahakan sesuatu aktiviti.

9. Usahlah berleter dan bersungut di hadapan anak apabila dia gagal melakukan sesuatu. Tindakan anda ini hanya akan menyebabkan dia tidak dapat menguasai daya inisiatif.

10. Elakkan daripada bersifat baran dan mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anak-anak. Tindakan anda boleh menyebabkan dia gemar menyisihkan diri, murung dan tidak proaktif.

11. Usah amalkan budaya berkata ’ jangan ’ dan ’ tidak boleh ’ kepada anak. Ia kurang sesuai untuk dipraktikkan sekaligus tidak membantu perkembangan positif dalam diri anak. Sebaik-baiknya tukar bentuk arahan negatif kepada lebih positif iaitu dengan cara memberitahunya apa yang patut dia lakukan.

12. Tanam dan cambahkan perasaan ’ saya boleh ’ dalam diri anak. Ini mampu menjadi pemangkin untuk dia mencuba perkara baru sekaligus menghadapi pelbagai keadaan hidup dengan penuh yakin.

13. Kaji terlebih dahulu sesuatu tingkah laku yang ditonjolkan oleh anak. Ada kalanya mengubah persekitaran mampu menyelesaikan kekecewaan anak. Cubalah fikirkan bagaimana anda boleh menbantu dia melakukan sesuatu.


14. Terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan bagi mempamerkan kasih sayang kepada anak. Namun, bukan semua cara anda mampu difahaminya. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menunjukkan kasih sayang anda dengan cara yang lebih langsung dan bukan melalui kebendaan.


15. Kanak-kanak pra sekolah tidak mahir dalam membuat keputusan sendiri. Jadi dia akan lebih cenderung untuk memilih berdasarkan naluri ataupun kemahuan yang mungkin bertentangan dengan kehendak anda. Oleh itu, corakkanlah dengan baik dan berhikmah agar supaya anak kita dapat memahami dengan sepenuhnya.

1 comments:

myazzyra said...

worth reading..:))